IPOH: Orang ramai kini berpeluang untuk melihat sendiri keunikan seni bina serta warisan yang ada di dalam rumah besar atau Istana Raja Bilah berusia lebih 100 tahun yang terletak di Papan, Pusing di sini.

Jika sebelum ini rumah tersebut hanya boleh dilihat dari luar, namun, menurut salah seorang waris keturunan Raja Bilah, mereka akan mempertimbang keputusan untuk membuka rumah ini kepada umum.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada keperluan dan situasi semasa bagi sesi lawatan di rumah bersejarah itu, di samping mengambil kira faktor rumah itu yang perlu diselenggara dan dibaik pulih.

Salah seorang waris dari generasi keenam, Nor Azwan Abdul Ghani, 46 tahun, mengakui sering menerima permohonan kebenaran bagi kru filem atau drama membuat penggambaran di situ, memandangkan lokasinya yang menarik dan unik.

"Kalau pengunjung yang datang itu dalam jumlah yang ramai, boleh saya bukakan pintu rumah besar itu, bergantung kepada keadaan dan keperluan, memandangkan jarak untuk berulang alik dari rumah ke sini agak jauh.

"Setakat ini, tiada sebarang bayaran dikenakan untuk pengunjung yang masuk ke dalamnya, kecuali untuk urusan penggambaran atau sebagainya, itu kita kena lihat semula.

"Kami ini keluarga besar dan apa-apa pun akan dibincang terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.



Menurutnya lagi, rumah besar itu tidak pernah dibuka kepada umum, melainkan bagi tujuan penggambaran.

"Kiranya, tidak pernah kita buka untuk pengunjung, ada pun untuk penggambaran saja, itu pun sudah lama. Baru-baru ini saja yang kita buka untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masuk," katanya.

Jelas Nor Azwan, besar kemungkinan lebih banyak aktiviti akan digerakkan di rumah berkenaan selepas ini termasuk merancakkan peluang ekonomi di situ.

"Setakat ini pihak kita mahu dapatkan dana untuk kerja baik pulih, semuanya akan dibincangkan secara terperinci," katanya lagi.



Harapannya juga supaya istana atau rumah besar itu tidak lenyap begitu saja, di samping dapat menghebahkan sejarah yang ada di Papan.

Menurut sumber, rumah yang terletak di belakang pekan kecil Papan itu didirikan oleh Raja Bilah yang merupakan Penghulu mukim Belanja dari tahun 1882 hingga 1909.

Rumah tersebut siap sepenuhnya pada tahun 1896 dengan dilengkapi tembok kota dan balai penghulu. Raja Bilah juga diberi kuasa oleh kerajaan Perak mengutip cukai bijih timah di mukim Papan.

Selain dijadikan rumah kediaman dan pejabat penghulu, rumah itu turut menjadi pusat kegiatan Mandailing di negeri ini, yang mana Raja Bilah sendiri merupakan seorang pemimpin daripada masyarakat itu.